Minggu, 12 Juni 2011

AZAN DAN IQAMAH : HUKUM DAN KELEBIHANNYA

Menurut kamus Lisan al-‘Arab, azan dari segi bahasa bererti pemberitahuan (al-i‘lam). (Lisan al-‘Arab: 13/9) Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

"Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri daripada tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik".

(Surah at-Taubah: 3)

Sementara azan dari segi syara‘ pula bererti zikir yang ditentukan untuk pemberitahuan sembahyang fardhu lima waktu.

Menurut kamus Lisan al-Arab, iqamah pula dari segi bahasa adalah merupakan mashdar kepada kalimah aqama iaitu mendirikan. (Lisan al-‘Arab: 12/498) Pada syara‘ pula bererti zikir yang ditentukan untuk mendirikan sembahyang. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 1/460)

SEJARAH DISYARIATKAN AZAN DAN IQAMAH

Adapun sejarah disyariatkan azan dan iqamah itu bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah. (Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah: 2/358) Sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar katanya yang bermaksud :

"Semasa orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu sembahyang dan tidak ada seorang pun yang menyerukan untuk sembahyang. Pada suatu hari mereka pun membincangkan hal itu.

Berkata sebahagian mereka: "Ambillah naqus (loceng) seperti naqus orang-orang Nasrani (Kristian)."

Berkata sebahagian yang lain pula: "(Ambillah) trompet seperti trompet orang-orang Yahudi."

Lalu berkata ‘Umar: "Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan sembahyang?"

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk sembahyang."

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin Zaid katanya yang bermaksud :

"Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk menggunakan naqus (loceng) untuk dipalu bagi mengumpulkan orang ramai untuk mendirikan sembahyang jemaah, dalam tidurku (mimpi) seorang lelaki berjalan mengelilingiku sedang membawa di tangannya naqus. Lalu aku berkata: "Wahai hamba Allah, adakah kamu jual naqus itu?"

Dia berkata: "Apa yang akan engkau buat dengannya (naqus)?

Aku berkata: "Dengan naqus itu kami menyeru kepada sembahyang."

Dia berkata: "Mahukah kamu aku tunjukkan yang lebih baik dari itu?"

Aku berkata: "Ya."

Berkata periwayat (orang yang mimpi): "Dia (lelaki yang dimimpikan) berkata: "Engkau ucapkan: "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, marilah menuju kemenangan, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah."

(‘Abdullah bin Zaid) berkata: "Kemudian lelaki itu berundur sedikit.

Lalu lelaki itu berkata: "Jika engkau menyerukan iqamah sembahyang engkau ucapkan: "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Saya mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, saya mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, marilah mendirikan sembahyang, marilah menuju kemenangan, sesungguhnya sembahyang telah didirikan, sesungguhnya sembahyang telah didirikan, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah."

Pada pagi esoknya aku datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu mengenai dengan mimpiku itu.

Baginda bersabda: "Sesungguhnya mimpimu itu benar insya Allah, berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkan padanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya itu, kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada engkau." Maka aku berdiri bersama Bilal lalu aku ajarkan dia dan dia azan dengan apa yang aku ajarkan itu.

(‘Abdullah bin Zaid) berkata: "Maka terdengarlah azan itu oleh ‘Umar bin al-Khattab, sedang dia dirumahnya. Lalu dia keluar dengan bergegas menyeret selendang di belakangnya dan berkata: "Demi yang telah mengutusmu dengan benar wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bermimpi sepertimana yang dimimpikan olehnya (Àbdullah bin Zaid)."

Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Segala puji bagi Allah."

(Hadis riwayat Abu Daud)


Tidak ada komentar:

Posting Komentar