Jumat, 28 November 2008

Sejarah Melaka

Melaka

Melaka diketahui sebagai sebuah negeri bersejarah yang kaya dan dikenali sebagai lambang semangat perpaduan kebangsaan yang telah ditempa hasil ukiran dan tenunan sejarah yang unik. Melaka telah diasaskan oleh Parameswara (atau Raja Iskandar), pemerintah Melayu Temasik yang terakhir (Singapura pada masa dahulu) pada tahun 1396 apabila baginda dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke selat menuju ke Muar, dan kemudiannya ke Sungai Ujung sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara Sungai Melaka.

Setelah mengetahui akan kedudukannya yang strategik, baginda memutuskan untuk menetap di situ dan menamakannya sebagai “Melaka” sempena nama sebuah pokok tempat baginda bersandar. Kesultanan Melaka adalah kedudukan yang istimewa dan penting dalam sejarah Malaysia. Perlantikannya menandakan permulaan baru kepada pemerintahan baru Melayu. Sebagai tempat kelahiran Kesultanan Melayu dan sejarah bandar Malaysia, Melaka merupakan tempat di mana Portugis, Belanda dan juga British memainkan peranan dalam melakar sejarah.

Melaka2

Melaka muncul sebagai sebuah kuasa perdagangan maritim hasil kerja keras Parameswara dan pengikut-pengikutnya. Melaka mula dikenali oleh pedagang-pedagang Islam dari Asia Barat dan India yang pada waktu itu menumpukan aktiviti mereka di Aru, Pedir, Pasai dan sepanjang perjalanan ke Timur, terutamanya Cina. Disebabkan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ia telah berkembang sebagai pengkalan kapal dan pusat pertukaran barang dagangan dari Cina, Jepun, India, Arab dan Afrika Selatan.

Pada tahun 1511 ia telah jatuh ke tangan Portugis, dan kemudianya Belanda pada tahun 1641 dalam peperangan yang sengit. Pada tahun 1795, Melaka telah diberi kepada British untuk menghalangnya dari jatuh ke tangan Perancis apabila Netherland dijajah semasa Peperangan Napoleon. Selepas itu ia telah dikembalikan semula kepada Belanda pada tahun 1818 di bawah Perjanjian Vienna, tetapi akhirnya menjadi milik British, hasil pertukaran Bangkahulu, Sumatera kepada Belanda. Semenjak tahun 1826, Melaka bersama-sama Singapura dan juga Pulau Pinang diperintah oleh Kompeni Hindia Timur British di bawah pentadbiran Perjanjian Selat di Calcutta. Belanda, sebuah kuasa yang telah memerintah Melaka selama lebih satu kurun telah banyak mendirikan bangunan-bangunan yang melambangkan tinggalan mereka. Stadthuys adalah bekas tinggalan yang terunggul semasa zaman pemerintahan Belanda. Dewan bandar yang berwarna merah jambu ini adalah bangunan tinggalan Belanda yang tertua di Timur Jauh. Bersebelahan dengannya pula adalah Gereja Christ yang berwarna merah terang yang dibina dengan bata merah yang diimport dari Holland yang disalut dengan laserit. Kini, bangunan-bangunan, bersama-sama dengan tinggalan Portugis seperti A’ Famosa dan Gereja St. Paul telah menjadi ingatan yang terunggul melambangkan kehadiran kuasa-kuasa Eropah pada masa lalu di Melaka.

Selepas Perang Dunia ke 2, sentimen anti-koloni telah merebak di seluruh negara di kalangan nasionalis hingga terhasilnya Perisytiharan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama di Padang Pahlawan di Bandar Hilir Melaka pada 20 Februari 1956.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar